SEJARAH SEKOLAH MENENGAH AGAMA AT-TANWIRIAH
Sekolah Menengah Agama Al-Tanwiriah telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1964. Ia telah bermula dari satu halaqah ilmu yang dikendalikan oleh Tuan Guru Haji Hasbullah bin Haji Salleh pada setiap minggu yang diadakan di rumah beliau sendiri.
Memandangkan sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat, maka masyarakat kampung dengan diketuai oleh Tuan Guru Haji Hasbullah telah mengusahakan agar sebuah sekolah yang berteraskan pendidikan agama dapat didirikan. Bagi menyahut cita-cita murni itu, maka pada tahun 1969 di atas sekeping tanah seluas suku ekar milik Tumirah Haji Abd. Manan, terdirilah sebuah sekolah dengan nama "Madrasah Tanwiriah."
Sehingga tahun 1972, sekolah ini telah berjaya menarik perhatian sebilangan penduduk kampung untuk mengikuti kelas-kelas yang diadakan. Kebanyakan para pelajar itu terdiri dari mereka yang "berusia lebih" dan agak terlambat mengikuti kelas-kelas persekolahan biasa. Namun pada tahun 1978 hingga 1990, sekolah ini menghentikan kegiatan pembelajarannya setelah ia menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar dan corak pendidikan yang hanya menumpukan pelajaran agama sahaja.
Tahun 1991 merupakan tahun "kelahiran semula" apabila sekolah ini telah dibuka kali kedua, setelah "berehat" seketika dengan menawarkan pelajaran agama dan akademik. Ini bermakna pelajara-pelajar di sekolah ini akan mendapat pelajaran dalam dua bidang. Pertama; Pendidikan Islam diajar dengan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar bagi membolehkan para pelajarnya menduduki peperiksaan Syahadah Idda’i dan Thanawi. Dalam matapelajaran akademik pula, para pelajar diajar berpandukan kurikulum sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan PTS, UPSR, PMR dan SPM. Melalui pendidikan bersepadu para pelajar yang mendapat pendidikan dan tarbiyyah di sekolah ini akan mampu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada ke institusi pengajian tinggi tempatan ataupun luar negara, khususnya Timur Tengah.
Pada tahun 1995/6, sekolah ini telah menyiapkan sebuah bangunan bilik darjah dan sebuah bangunan lain yang mampu menyediakan 12 buah bilik darjah rendah dan menengah. Dengan kemudahan yang disediakan yang ada, maka ramai para pelajar yang telah mendaftar dari setahun ke setahun. Sehinggalah pada tahun 1999 sekolah ini telah mendaftarkan seramai 545 orang pelajar. Lebih kurang 150 orang daripada mereka menginap di asrama putera, puteri dan rumah sewa. Ketika ini juga, bangunan "Musollah al-Tanwiriah" yang mengandungi Dewan solat dan Dewan Kegiatan Muslimat sedang dalam pembinaan. Kemudahan penginapan ini telah berjaya menyediakan satu suasana tarbiyyah yang berkesan kepada para pelajar di samping berjaya mengatasi beberapa masalah lain.
Pertambahan jumlah pelajar dari setahun ke setahun telah menyebabkan pihak sekolah mengambil langkah berani, walaupun dalam keadaan serba kekurangan dengan "menyara" empat orang guru berijazah, iaitu dua orang berkelulusan ijazah al-Azhar, seorang ijazah dari Medan Indonesia dan seorang berkelulusan M.A dari Universiti Sains Malaysia. Kehadiran semua guru berijazah dan bersama-sama dengan guru-guru veteran lain yang sedia ada ini akan dapat membantu pihak sekolah meningkatkan lagi prestasinya.
Ringkasnya, Sekolah Menengah Agama al-Tanwirih adalah sebuah sekolah yang dimiliki oleh "rakyat di Parit Jawa" asalnya. Dari situ, ia berkembang bergerak hingga hari ini tersergam indah dengan pelbagai pengisian ilmu yangdirancangkan. Bersandarkan pengalaman silam itu, sekolah ini telah menyediakan banyak rancangan pembangunan fizikal dan pengisian akademiknya.
SEKOLAH MENENGAH AGAMA AT- TANWIRIAH (SABK)
JALAN TEMENGGONG AHMAD,
PARIT JAWA 84150,
MUAR
No.Telefon : 06-9872468 / 06-9872627
0 comments:
Post a Comment